Sunday, February 26, 2012

Jaulah Kami

Assalamualaikum,

Fuh! Fuh! Sapu habuk sikit. Maaflah dah berabuk blog ni, x sempat nak sapu sebelum ni, cuti yang panjang dan tugasan belajar yang menggunung membuatkan kami terlepas pandang pada blog ni. InsyaAllah kami cuba untuk memanfaatkan kembali blog ni. Moge Allah redha!!

Hmm kali ni saya nak berkongsi pengalaman saya menjelajah ke bumi Jordan pada cuti sekolah yang lalu. Diharap dapat bertahan membaca keformalan bahasa yang digunakan dan ayat yang agak berbunga2 gitu. hehe


Alhamdulillah, pada tanggal 24 hingga 31 Januari yang lalu, kami tujuh sekawan telah diberi peluang dan kesempatan oleh Allah untuk melawat ke bumi jihad Jordan atau dalam bahasa arab digelar al-urdun. Salah satu bumi yang dahulunya digelar Balad Syam atau negeri Syam namun kini telah terpisah menjadi  empat buah negera yang berbeza iaitu Syria, Lubnan, Palestin dan Jordan. Perpecahan ini juga membawa perpecahan semangat keislaman, yang tinggal sekarang hanyalah semangat kenegaraan yang kuat.
Dua orang daripada kami tiba di Lapangan Terbang Queen Alia Amman pada lewat tengah malam 24 januari dan disambut meriah oleh dua orang akhawat yang belajar di situ. Kemudian kami di bawa ke rumah isti’ab untuk berehat dan melelapkan mata. Rumah inilah yang menjadi tempat penginapan kami selama empat hari berada di situ. Rumah yang menjadi tempat tinggal lima orang pelajar itu amat selesa dan penghuninya juga memberikan layanan yang amat baik kepada kami. Tidak cukup rasanya ucapan terima kasih kami atas budi yang mereka taburkan.
Hari pertama kami bermula dengan begitu indah sekali, kami telah dibawa ke tempat di mana berlakunya Peperangan Yarmouk. Subhanallah kawasan peperangan ini terletak di kawasan bukit bukau yang saujana mata memandang.Sepanjang perjalanan ke tempat  peperangan itu, mata kami dijamu oleh pepohon zaitun di kiri dan kanan jalan. Terdapat sebuah bukit yang tertinggi digelar Khalid’s hill, tempat  yang dipercayai di gunakan oleh Khalid Al-Walid ketika perang. Sebagaimana yang kita ketahui peperangan Yarmouk   adalah perang diantara Muslim Arab dan pasukan Romawi Timur(Byzantium) pada tahun 636 m.
Pertempuran ini dilihat sebagai salah satu pertempuran penting dalam sejarah dunia, kerana ia menandakan gelombang besar pertama penaklukan Muslim di luar Tanah Arab dan kemasukan Islam ke Palestian,Syria dan Mesopotamia yang mana rakyatnya adalah penganut agama Kristian yang terjadi semasa pemerintahan Umar ibn Al-Khattab.
Kemudian kami dibawa berjalan di sekitar Balad Irbid , kami teruja melihat dan merasa suasana jual beli di pasar itu. Suara penjual sahut menyahut mendendangkan lagu-lagu untuk menarik perhatian pelanggan. Agak lama kami berjalan dari satu kedai ke satu kedai lain, setelah kepenatan akhirnya kami menjumpai barang yang berkenan di hati. Setelah itu kami menjamu selera di restoran abu Mahmud, kami dijamu dengan nasi arab yang sangat sedap tetapi murah. Waktu malam pula kami gunakan untuk beramah mesra dan bertaaruf  dengan tuan rumah yang kami tumpangi sambil menikmati mee hailam yang disediakan khas untuk kami. Lima orang lagi rakan kami juga tiba pada lewat malam itu.



Hari kedua kami berjalan dengan  lancar, pagi-pagi lagi kami telah bertolak ke lapangan terbang yang sama untuk menjemput 3 orang akhwat dari Russia yang ditemani oleh seorang ikhwah.  Dari sana, kami meneruskan perjalanan ke Laut Mati. Terasa insaf mengenangkan kisah kaum nabi lut yang telah diazab oleh Allah kerana perlakuan songsang mereka. Jika selama ini kami hanya membaca kisahnya di dalam al-quran namun hari ini kami berada di tempat berlakunya azab itu.
Kemudian dalam perjalanan pulang ke irbid, kami singgah sebentar di makam Abu Ubaidah Al jarrah. Tidak dapat digambarkan perasaannya apabila pertama kali menjejakkan kaki ke makam sahabat rasulullah yang amat disayangi baginda.  Sahabat yang telah mendapat jaminan syurga dari Allah atas perjuangan menegakkan islam tercinta . Sahabat yang sanggup kehilangan gigi untuk mencabut rantai besi di pipi rasulullah.


             
Keesokan harinya, kami dibawa pula ke Ummu Qais, sebuah tempat  yang dahulunya digelar sebagai Gadara. Salah satu  dari sepuluh Bandar atau Decapolis semasa pemerintahan roman-greek. Tinggalan yang terdapat di sini sama seperti yang terdapat di Rom pada hari ini tetapi saiz yang lebih kecil dan kebanyakannya sudah musnah dek gempa bumi yang pernah melanda Jordan. Dari sini juga, kita dapat melihat bukit Golan, di mana kita dapat melihat seluruh tanah arab apabila berada di puncaknya dan tasik Tiberia, yang kekeringan airnya menjadi petanda akhir zaman. Kedua-dua khazanah ini telah di ambil pihak Yahudi untuk kepentingan mereka.




Setelah itu kami meneruskan perjalanan dengan melawat ke makam sahabat-sahabat yang terletak berdekatan  Irbid.  Makam pertama yang kami jejaki adalah makam Muaz bin Jabal dan anaknya, suasana sayu menyelubungi kami ketika itu, sayu melihat bukti kerja keras sahabat demi menyebarkan Islam kepada seluruh manusia sehingga berjaya sampai kepada kita hari ini. Dan begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain iaitu Amir bin Abu Waqqas, Shurahbil dan Dirar ibn Al-Azwar. Wangian syahid mereka masih menyelubungi kami, membuat kami juga mengimpikan syahid. Namun kata-kata sahaja tidak cukup, ia perlu dibuktikan dengan perbuatan dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Pada malam itu kami mendapat pengisian bertajuk ini sejarah kita versi Jordan yang disampaikan pelajar di sini. Slot ini menceritakan sejarah Jordan , bagaimana wujudnya Jordan ini dan tinggalan berharga yang terdapat di sini. Serta bagaimana munculnya Lawrence of Arabia dan taktik-taktik yang digunakan.




Hari yang keempat pula, misi kami adalah menawan Ajloun  dan Jerash. Tempat pertama yang kami pergi adalah  Ajloun. Ajloun adalah kubu yang digunakan oleh Salahuddin Al-Ayyubi untuk menentang kristian . Kubu yang amat kukuh ini dibina oleh anak saudara beliau iaitu Ezuddin. Kubu ini dibina lengkap dengan lubang-lubang untuk memanah, koridor, penjara dan menara untuk memantau musuh. 
Kemudian kami bergegas pula ke Jerash. Jerash juga merupakan salah satu dari Decapolis tinggalan roman-greek. Kami ditemani oleh seorang  pemandu pelancong yang peramah. Antara tinggalan yang terdapat di sini adalah roman forum, teater, kuil,gereja, pasar dan jalan-jalan utama yang menghubungkan empat kawasan iaitu palestin, Iraq, Syria dan lubnan. Di kiri kanan jalan terdapat tinggalan kedai mereka. Terdapat juga batu yang menghasilkan muzik apabila diketuk. Kami kagum juga melihat teraturnya sistem yang lengkap dengan saliran air yang baik , namun janji Allah yang batil pasti lenyap, dan lenyaplah mereka yang tinggal hanya tinggalan mereka.




Lewat malam itu kami telah bertolak untuk pergi ke Petra yang terletak berdekatan Aqaba, perjalanan kami mengambil masa yang lama dan kami tiba di Petra keesokan paginya. Petra adalah tinggalan kaum samud iaitu umat nabi Saleh . Sebagainya yang kita sedia maklum, kaum samud adalah kaum yang hidup di kawasan lembah yang  memahat bukit batu menjadi rumah-rumah. Mereka dilimpahi dengan kemewahan dari Allah tetapi mereka ingkar dan enggan menyembah Allah, malah mereka membunuh unta yang menjadi mukjizat nabi Saleh. Mereka kemudian diazab dengan suara yang mengguntur yang menyebabkan tubuh mereka hancur sedikit demi sedikit hingga menjadi debu. Kawasan yang ditinggalkan mereka seperti tidak pernah didiami oleh sesiapa sebelum ini.
Kami dapat melihat lubang-lubang yang pernah menjadi rumah mereka di sepanjang jalan, istana yang cukup cantik diukir dan terpaksa mendaki untuk ke kuil yang terendah. Dikatakan terdapat 800 anak tangga untuk sampai ke kuil yang tertinggi. Kemudian untuk pulang semula ke tempat yang agak jauh, ada di antara kami yang menaiki unta, kuda dan keldai. Kami cuba untuk  menghayati kisah kaum samud ini agar tidak mengulanginya.



Setelah seharian di Petra, kami meneruskan perjalanan ke Aqabah. Dalam perjalanan kami diuji dengan kerosakan salah sebuah coaster yang kami naiki, namun ia tidak mematahkan semangat kami. Kami berpindah ke coaster sebuah lagi dan meneruskan perjalanan. Alhamdulillah, kami selamat di Aqabah dan pada malam itu kami menjamu selera di restoran makanan laut memandangkan Aqabah berhampiran laut serta membeli belah sedikit di kedai-kedai berhampiran.
Hari keenam iaitu hari terakhir kami, pagi-pagi lagi kami telah dibawa ke tepi laut Aqabah. Kami menaiki glass boat, sebuah bot yang dipasang kaca dibawahnya untuk membolehkan kami melihat ke dasar laut, Subhanallah airnya sangat jernih dan biru. Amat cantik. Kami dapat melihat ikan-ikan dan terumbu karang yang cantik juga di dalamnya. Terdapat juga sebuah kereta kebal, dipercayai hasil peperangan antara Jordan dan Yahudi, memandangkan laut ini dikongsi bersama dan hanyalah barisan bot-bot yang menjadi sempadan. Kami  sempat juga mengambil gambar beramai-ramai untuk kenangan.





Kemudian kami meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir kami iaitu Wadi Rum atau lembah Rum. Wadi rum ini adalah sebuah kawasan  padang pasir dan terdapat juga bukit-bukit batu yang besar. Walaupun hanyalah sebuah padang pasir namun ia sangat cantik, masyaAllah. Pasirnya seakan-akan merah jambu dan sangat halus, berat rasa hati mahu meninggalkan wadi Rum ini namun masa mencemburui kami. Kami terpaksa bertolak balik ke Amman untuk pulang ke Warsaw pada malam itu juga.
 Setiap saat dan detik kami di bumi Jordan ini membawa seribu satu makna yang cukup berharga buat kami, ia bukan sahaja memukau mata kami namun ia juga menyentuh hati, meningkat iman, membaiki peribadi,menambah semangat dan menyubur ukhuwah kami. Semoga permusafiran kami ini dikira Allah sebagai satu ibadah kami yang diredhaiNya. Selamat tinggal Jordan, namun kami tidak pulang kosong, kami pulang dengan hati yang terisi.