Saturday, February 26, 2011

10 Muwassafat Tarbiyyah

Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulilah..Alhamdulilah..Alhamdulilah
Dengan izinNya dapat lagi kami bertemu dan berusrah minggu ni..
Dengan rahmatNya juga dapat lagi kami menambah ilmu dan mengingati satu sama lain..
Dan dengan kasihNya pula dapatlah kami berkongsi cerita di sini..

Mari kita hayati maksud ayat ni,

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang berakal, yaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata "Ya Tuhan kami tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha suci engkau, lindungilah kami dari azab neraka." 3:190-191

Dalam ayat ni Allah perintahkan kita agar sentiasa mengingatiNya dalam apa keadaan sekalipun. Kita juga disuruh memikirkan kebesaran Allah melalui segala ciptaanNya. Bagi saya bukan mudah untuk tetap khusyuk mengingati Allah setiap masa namun kita boleh berusaha ke arah itu. Sebagai contoh apabila kita keluar dari rumah dan kita memandang ke langit, segera kita ucapkan Maha suci Allah yang menjadikan langit itu tegak tanpa tiang. Kemudian apabila kita terpandang pepohon yang menghijau,ingatlah pokok itu juga sedang berzikir kepada Allah. InsyaAllah marilah kita menggunakan akal yang dianugerahkanNya mengikut fikrah islam itu sendiri.

Sebelum saya masuk ke topik minggu ini saya ingin berkongsi secara ringkas mengenai program Shahadatul Haq yang kami hadiri minggu lepas. Shahadatul Haq atau penyaksian atas kebenaran menerangkan erti sebenar kita mengucapkan dua kalimah syahadah. Ia bukanlah sekadar lafaz tetapi satu tanggungjawab atau tugas yang besar bagi setiap individu muslim. Ia menuntut kita untuk menyampaikan kebenaran yang telah kita yakini kepada semua manusia atau dengan kata lain berdakwah. Baik sangat ke kita ni nak berdakwah pada orang lain? Tapi kalau nak tunggu baik baru nak berdakwah bila la agaknya kan. Mari kita lihat kata-kata ni "Perbaikilah diri kamu dan serulah pada orang lain." Dalam kita berusaha memperbaiki diri  kita ajaklah orang lain bersama kita juga.

Jadi kita perlulah mempersiapkan diri untuk memperjuangkan islam. Dan untuk menjadi seorang da'ie, kita perlulah meneliti sifat-sifat da'ie muslim yang perlu wujud dan ditanam dalam diri kita. Terdapat 10 sifat-sifat atau muwassafat tarbiyyah yang perlu kita teliti..


1. Akidah yang sejahtera
Seorang da'ie semestinya cinta dan redha Allah sebagai Rabbnya, islam sebagai deennya dan Nabi Muhammad sebagai rasulnya untuk dijadikan ikutan.

2. Ibadah yang sahih
Melaksanakan ibadah yang disuruh Allah dan sunnah rasulullah serta meningkatkan dan membaiki amalan.

3. Akhlak yang mantap
Mencontohi akhlak rasulullah. Memantapkan akhlak baik yang sedia ada.

4. Luas pengetahuan
Menambah ilmu pengetahuan sama ada ilmu agama atau pengetahuan am dan ilmu-ilmu lain agar boleh menceritakan kepada orang lain di samping bersumberkan Al-quran dan sunnah. Perlu juga mampu membaca al-quran dengan baik,tadabbur, mempelajari sirah dan hukum-hukum.

5. Sihat tubuh badan
Tubuh badan yang sihat amat diperlukan untuk berdakwah. Rasulullah bersabda: "Mukmin yang kuat itu lebih baik dan dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."
Kita juga hendaklah menjaga kesihatan dengan beriadah dan menjaga pemakanan kita.

6.Mampu berdikari
Apabila berseorangan kita masih mampu menegakkan islam dalam diri kita walaupun tiada rakan yang mengingatkan.

7.Melawan nafsu
Mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan islam sebenar. Untuk mengajak orang lain kepada kebaikan kita perlu melakukan kebaikan itu juga.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." 61:2-3

8. Sangat menjaga masa
Ingat masa adalah sangat berharga. Masa adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Gunakanlah masa untuk perkara yang berfaedah untuk dakwah dan islam.

9. Menjaga urusan
Untuk manfaatkan masa kita perlu bijak mengatur semua urusan agar tiada masa yang terbuang sia-sia dan semua kerja dapat diselesaikan mengikut masanya.

10. Bermanfaat pada orang lain
Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi  jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan islam. Masa depan islam bergantung kepada da'ie.Sebaik-baik manusia adalah orang yang bermanfaat kepada orang lain.


InsyaAllah marilah kita bersama-sama memupuk sifat-sifat ini dalam diri kita. Bukan mudah untuk menjadi seorang da'ie namun yakinlah bahawa kita mampu untuk memikul tugas ini kerana Allah tidak akan membebani kita dengan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Ingat kita adalah umat pilihan Allah.

Sebelum saya mengakhiri post kali ni mari kita hayati ayat ni.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia(di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung." 3:200

Bersabarlah terhadap ujian yang kita hadapi dan kuatkanlah kesabaran itu kerana kita tidak tahu bila kita akan diuji lagi. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.

Wallahualam...

No comments:

Post a Comment